Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) diminta mengkaji dan meneliti syor-syor yang telah dikemukakan tentang cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Serentak itu juga, satu draf Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pindaan akan disediakan Jabatan Peguam Negara.

Kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin memberitahu, satu sesi libat urus turut akan diadakan bersama pakar-pakar akademik dan ahli Dewan Rakyat.

Ia bagi mendapatkan pandangan lebih lanjut mengenai perkara tersebut sebelum dibentangkan di Parlimen, Oktober depan.

Kerajaan secara prinsipnya setuju dengan cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori selepas Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, 8 Jun lalu.

Selaras keputusan tersebut satu perjumpaan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr.Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun diadakan 20 Jun lalu.

Ujarnya, kerajaan berterima kasih atas kerjasama semua pihak terlibat dan berharap RUU tersebut dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan mengikut garis masa yang ditetapkan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini