Pengunduran secara total tentera Amerika Syarikat menandakan berakhirnya pendudukan selama 20 tahun tentera asing di bumi Afghanistan. Lebih ironi, apabila pelaburan bagi membina semula negara bergolak itu seakan sia-sia apabila berakhir dengan Taliban kini berada di tampuk kekuasaan semula.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata Afghanistan kini merdeka sepenuhnya dengan pengunduran tentera Amerika Syarikat dan disambut dengan tembakan secara bertubi-tubi di Kabul awal pagi tadi. Ujarnya, ia detik bersejarah yang akan diingati selamanya.

Pengunduran sepenuhnya tentera Amerika Syarikat selepas hari terakhir operasi diguna bagi memindahkan puluhan ribu rakyatnya dan warga Afghanistan yang pernah membantu misi perang Amerika Syarikat sebelum ini.

Minggu lepas, sejumlah rakyat Afghanistan dan 13 anggota tentera Amerika Syarikat terbunuh dalam serangan bom di Lapangan Terbang Kabul dengan kumpulan Daesh dilaporkan mengaku bertanggungjawab. Penerbangan terakhir meninggalkan Kabul berlepas pada pukul 7.29 malam waktu tempatan.

Awal bulan ini, Biden mengumumkan Amerika Syarikat akan membawa pulang semua tenteranya menjelang 11 September iaitu ulang tahun ke-20 serangan pengganas 9/11 yang mendorong operasi ketenteraan Amerika di beberapa negara termasuk Afghanistan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini