Seorang bekas eksekutif sebuah pasar raya didenda RM40,000 dan penjara sehari selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen  atas tuduhan menerima rasuah  RM4,488 bagi membantu kontrak kerja-kerja pembersihan pasaraya tersebut.
 
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas Noorazlina Shapie, 43 tahun, mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pilihan rasuah yang dilakukannya antara 24 Disember 2019 hingga 6 Januari lalu.   Mahkamah menetapkan hukuman itu selepas mengambil kira kesemua 22 pertuduhan utama dihadapi Noorazlina melibatkan suapan sebanyak RM38,360.

Jika gagal membayar denda itu, Noorazlina boleh dipenjara 44 bulan. 

Berdasarkan 10 pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa diberikan suapan berjumlah 4 ribu 488 ringgit daripada dua pemilik dua syarikat menerusi akaun miliknya dan anak lelakinya sebagai dorongan membantu mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di pasar raya tempatnya bekerja.

Kesalahan itu dilakukan di dua buah cawangan bank di Petaling Jaya dan Shah Alam antara 30 Mei 2019 sehingga 6 Januari 2021.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini