Thailand mengikuti langkah negara lain melarang kemasukan pengembara dari beberapa negara Afrika berikutan penularan jangkitan melibatkan varian baharu COVID-19, Omicron.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit DR Opas Karnkawinpong berkata, bermula 1 Dis, perjalanan dari lapan negara Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe adalah dilarang.

Tambah beliau, pengembara dari negara-negara yang disenaraikan tidak akan dibenarkan mendaftar untuk program pelancongan “Thailand Pass”. Pengunjung yang telah mendapat kelulusan sebelum ini bagaimanapun, wajib menjalani kuarantin selama 14 hari setibanya ke Thailand.

Selain itu, pengembara lengkap dengan suntikan vaksin COVID-19 dari negara Afrika lain juga diwajibkan menjalani kuarantin. Jumaat lalu, Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha mengarahkan agensi berkait untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan terhadap varian baharu itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengisytiharkan strain B.1.1.529 COVID-19 yang baharu ditemui, pertama kali dikesan di selatan Afrika, sebagai varian yang membimbangkan.

Sejak itu, Thailand telah menjalankan ujian saringan terhadap 1,007 ketibaan dari 12 negara Afrika, di bawah program “sandbox” dan kesemuanya didapati bebas daripada COVID-19. Tiada kes melibatkan varia itu di negara gajah putih itu setakat ini.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini