Tiada kelibat pasukan hoki lelaki kebangsaan di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom. Ini selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan untuk tidak mengambil bahagian pada temasya itu Julai depan.

Keputusan untuk tidak menghantar skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu dibuat bagi memberi fokus kepada  misi lebih besar di Sukan Asia di Hangzhou, China pada September. Ia menawarkan slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (KHM) Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif badan induk itu minggu lepas dengan mengambil kira pandangan Ketua Jurulatih dan Pengarah Teknikal (Pembangunan) KHM Paul Revington.

Pada masa sama, beliau menafikan keputusan untuk tidak menghantar pasukan negara ke Birmingham adalah disebabkan kekangan kewangan.

Sukan Komanwel dijadual bermula 28 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Asia berlangsung dari 10 hingga 25 September.

Jelas Datuk Ahmad Najmi lagi, walaupun ada cadangan untuk menghantar skuad remaja, ia berisiko menjejaskan kedudukan ranking pasukan negara.

Berdasarkan ranking semasa Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia berada di kedudukan ke-11 dunia.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini