Kejayaan skuad lelaki badminton negara menjuarai Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) 2022 semalam membuktikan bahawa tidak mustahil Piala Thomas mampu menjadi milik Malaysia, Mei depan.

Harapan itu disuarakan legenda perseorangan negara, Datuk Rashid Sidek yang berharap Malaysia mampu membawa pulang trofi tersebut, sekali gus menamatkan kemarau selama 30 tahun.

Meskipun mengakui rata-rata pencabar di kejohanan itu hanya menghantar barisan pemain pelapis, Datuk Rashid tetap optimis kejayaan menjulang gelaran BATC buat kali pertama ini mampu melonjakkan keyakinan para pemain negara.

Pada aksi final di Shah Alam semalam, skuad lelaki negara berjaya menebus kekalahan pada final edisi 2020 lalu dengan menumpaskan musuh tradisi Indonesia 3-0.

Untuk rekod Malaysia pernah memenangi Piala Thomas sebanyak lima kali dengan kali terakhir pada 1992 di Kuala Lumpur.

Justeru, Datuk Rashid yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 Atalanta mahu skuad lelaki negara menampilkan aksi terbaik dengan sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir pada edisi 2022 di Thailand, Mei depan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini