Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan perdana menteri yang berdepan dengan pelbagai situasi mencabar dalam menguruskan negara yang tidak pernah dilalui oleh perdana menteri lain sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, sepanjang pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri, beliau terpaksa mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik COVID-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerajaan dan pembangkang melalui MOU Transformasi dan kestabilan politik.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Datuk Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan dalam membuat penilaian.

Tan Sri Annuar turut mempersoal tindakan segelintir ahli UMNO yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan perdana menteri.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini