Tiket bagi Tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia (EKKM) bagi perjalanan dari KL Sentral ke Tumpat 8 Julai depan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha telah habis dijual.

Menurut Pengurus Perkhidmatan Jabatan Antarabandar, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Siti Harina Ayu Ali Akbar, perkhidmatan berkenaan sekali lagi diteruskan susulan sambutan luar biasa pada Hari raya Aidifitri lalu.

Sebanyak 1 ribu 32 tiket pergi dan balik ditawarkan untuk tren khas tersebut dengan perkhidmatan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior.

Tren juga dilengkapi koc bufet yang menawarkan ruang makan serta koc chillax yang menyediakan ruang untuk aktiviti solat dan santai bersama keluarga.

Tiket EKKM mula dijual  15 Jun lalu bagi perjalanan  8 Julai dan 12 Julai depan dengan menawarkan harga tiket bermula RM55 sehingga RM83.