Skuad hoki senior negara akan turun pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 di Dhaka, Bangladesh dengan misi meraih sebanyak mungkin kemenangan.

Ketua jurulatihnya, A. Arulselvaraj berkata, misi itu amat penting bagi memastikan peningkatan ranking skuad The Speedy Tigers yang ketika ini berada di kedudukan ke-10 terbaik dunia.

Menurut Arul, beliau telah pun menanam mentaliti untuk menang dalam setiap diri pemain negara dan yakin dengan konsep tersebut, skuad negara mampu mencapai sasaran berkenaan.

Bagaimanapun, buat masa ini amat sukar untuk Malaysia meramal kekuatan beberapa pencabar utama seperti Pakistan dan Korea Selatan kerana ketiadaan data serta statistik pertemuan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Dari segi ranking pula, Arul percaya kejayaan dalam kempen trofi berprestij di Asia ini akan memberi mata penting buat Malaysia mengejar pasukan tangga ke-9 Sepanyol dan pasukan tangga ke-8 New Zealand.

Pada saingan yang berlangsung 14 hingga 22 Disember itu nanti, skuad negara akan berdepan lima pasukan terbaik di Asia iaitu India, Korea Selatan, Jepun, Pakistan dan Bangladesh dengan format liga sepusingan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini