Usaha memindahkan penduduk yang masih terperangkap dalam bencana banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, dilipatgandakan dan kerja menyelamat dilaksanakan tanpa henti.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 41 bot, 16 lori dan aset lain digunakan bagi tujuan tersebut.

Datuk Seri Ismail Sabri dalam catatan di akaun Facebook beliau hari ini memaklumkan, pemindahan lebih 500 mangsa banjir sudah bermula sejak Jumaat lepas, melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari balai JBPM Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong.

Tambah beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan makanan bermasak untuk dihantar ke rumah mangsa dan pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau akan terus memantau perkembangan tersebut dan berdoa semoga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota pelbagai agensi yang sehingga kini masih bekerja keras tanpa henti.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada sukarelawan, badan bukan kerajaan dan ahli Keluarga Malaysia termasuk wakil rakyat yang menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini