Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) antara Malaysia dan Singapura bermula 29 November ini selari VTL-Air dengan kuota harian tidak lebih 1,500 pengembara untuk permulaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menjelaskan, buat masa ini, VTL-Land hanya menggunakan perkhidmatan bas manakala mod pengangkutan lain akan disenarai secara berperingkat. Inisiatif VTL-Land dilaksana untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Kenyataan sama menyebut, Malaysia dan Singapura bekerjasama untuk melancarkan VTL yang bertujuan meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Pengembara yang dibenar melakukan VTL-Land adalah warga Malaysia dan Singapura termasuk Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang kedua-dua negara.

Individu terlibat wajib lengkap divaksin dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

Pengembara juga wajib membuat pendaftaran di laman web seperti yang tertera sebelum sebarang pembelian tiket. Bagaimanapun, pengembara yang layak tertakluk kepada ujian COVID-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan negara masing-masing.

Butiran tentang keperluan VTL-Land juga boleh didapati di laman web tertera. Kadar vaksinasi populasi kedua-dua negara yang melebihi 95 peratus membolehkan sempadan darat dibuka semula secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini