Pelumba pasukan Total Energies,  Alexis Vuillermoz  melakukan pecutan pada saat-saat akhir untuk memenangi peringkat kedua Criterium du Dauphine pada Isnin.

Kemenangan dramatik itu turut membantu Vuillermoz merampas status pendahulu keseluruhan dari pemenang peringkat pertama, Wout van Aert dari pasukan Jumbo-Visma.

Pada saingan sejauh 170 kilometer dari Saint-Peray ke Brives-Charensac itu, Vuillermoz dan 4 pelumba lain mula melakukan pemisah pada 18 kilometer terakhir, sekali gus mendahului peloton dengan masa lebih 4 minit.

Bagaimanapun, peloton tersebut berjaya merapatkan jurang masa dengan diketuai Van Aert yang menuju ke garisan penamat di tempat keenam dengan lima saat di belakang Vuillermoz.

Keputusan itu menyaksikan Vuillermoz mendahului kedudukan keseluruhan dengan tiga saat ke atas pelumba Uno-X Pro Cycling Team, Anders Skaarseth dan 4 saat ke atas Olivier Le Gac dari pasukan Groupama–FDJ.

Van Aert pula di tempat keempat dengan ketinggalan 5 saat di belakang.

Peringkat ketiga akan berlangsung lewat malam ini dengan bermula dari Saint-Paulien ke Chastreix-Sancy dengan jarak 169 kilometer.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini