Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, kerana sengaja menyebabkan kematian anak lelakinya berusia lima tahun.

R. Kaleswary, 33 tahun, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian PJ Samsoon Paul, lima tahun di sebuah premis, Taman Tan Sri Yaakub, Iskandar Puteri, antara pukul 9 pagi hingga 12.20 tengahari, 3 Disember lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Di Mahkamah Sesyen pula, dalam pertuduhan menganiaya sehingga mendatangkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak itu di lokasi sama, antara April hingga 3 Disember lalu, R. Kaleswary mengaku bersalah manakala, teman lelakinya, Muhammad Iskandar Abdullah, 32 tahun, minta dibicarakan.

Pengakuan dibuat di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Bagaimanapun, hukuman belum ditetapkan kerana sedang menunggu laporan bedah siasat.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun keseksaan, memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun, denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebutan semula kes pada 27 Januari dan 15 Februari tahun depan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini