Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas 21 pertuduhan memindah dan menggunakan akaun miliknya bagi aktiviti pengubahan wang haram, berjumlah RM2.7 juta  antara 2015 hingga 2020.

Tertuduh, Lai Ching Wai, 64 tahun, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Diana Md. Razali.

Mengikut pertuduhan, Ching Wai yang juga bekas kontraktor didakwa memindahkan wang secara berasingan antara RM150,000 hingga RM660,000 keseluruhan berjumlah RM2.7 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti wang haram daripada akaun bank miliknya ke akaun bank milik sebuah syarikat.

Kesalahan dilakukan di beberapa buah bank di sekitar Seremban antara 2 November hingga 11 November 2020.

Dia turut didakwa menggunakan akaun simpanan miliknya sebagai peralatan kesalahan berkaitan dengan pelakuan aktiviti haram itu di beberapa buah bank di Seremban antara 21 Ogos 2015 hingga 19 Ogos 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan,boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini