Seorang pemandu van warga negara Myanmar disaman RM300 kerana membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan hingga menyebabkan kemalangan di Kilometer 59.7 Lebuhraya Senai-Desaru, Johor, kira-kira 2.55 petang semalam.

Dia turut disaman RM300 lagi kerana tiada lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, pemandu van berusia 33 tahun dari arah Desaru ke Senai membuat pusingan U secara tiba-tiba, menyebabkan pemandu wanita berusia 29 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar van berkenaan.

Wanita dan anaknya berusia dua tahun cedera ringan, manakala pemandu van tidak cedera.

Semasa kejadian, pemandu van baharu selesai membuat kerja-kerja pemotongan rumput dan membuat pusingan U untuk bergerak ke kilometer 60 lebuh raya tersebut bagi meneruskan kerja-kerja berkenaan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 13 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini