Dalang sindiket pemalsuan dokumen imigresen tumpas dengan penahanan seorang lelaki warga Pakistan berumur 37 tahun.

Suspek ditahan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah Kondominium mewah di Setapak pada 12 November lalu.
 
Sindiket beroperasi sejak setahun lalu itu menyebabkan kerugian hasil kerajaan, khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, susulan penangkapan suspek telah membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium lain di Jalan Genting Kelang yang turut disewa untuk kegiatan sama.

Sindiket mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bergantung kepada kualiti yang dikehendaki pelanggan. 
 
Manakala bagi lesen memandu, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50.

Operasi turut merampas set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan asing dan lain-lain peralatan yang digunakan dalam aktiviti haram berkenaan.

Turut dijumpai stok pelekat yang masih kosong dan wang tunai berjumlah RM13,710 yang disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan.  

Kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/1963 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini