Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Tanah Merah hari ini atas pertuduhan membunuh adiknya di sebuah rumah di Jeli, Kelantan, bulan lalu.
 
Tertuduh warga Thailand, Masofi Masae, 36 tahun, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohamad Nasarudin Mohamed.

Mengikut pertuduhan, Masofi membunuh Ma-Udeng Masae, 30 tahun, di sebuah rumah di Kampung Melayu Sungai Rual, Jeli pada jam 1.30 pagi, 29 Disember lalu.
 
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nazuha Mohd Nasir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 
Timbalan Pendakwaraya Nazuha memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan mental.
 
Mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta dan menetapkan 30 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini