Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat khususnya di negeri Pantai Timur, Johor dan Sabah, bersiap sedia hadapi kemungkinan banjir besar sebagaimana amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko agar peka terhadap ramalan dan amaran serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat berterusan.

Ini termasuk mematuhi semua arahan dan panduan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga.

Seri Paduka Baginda juga menasihati agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak leka dan sentiasa proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa persediaan awal meliputi operasi menyelamat dan penyerahan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini