Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol.

Gandingan profesional negara Ong Yew Sin-Teoh Ee Yi berjaya menempah slot ke pusingan ketiga.

Pasangan negara dengan mudah menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-12, bagaimanapun hampir diheret ke set penentuan apabila ketinggalan di belakang lawan mereka dari Denmark Joel Eipe-Rasmus Kjaer 10-18 pada set kedua.

Pilihan kesembilan kejohanan itu bagaimanapun berjaya mengejar mata demi mata hingga menyamakan kedudukan pada 19-19 sebelum menokhtahkan kemenangan 21-19 dalam tempoh 39 minit perlawanan.

Yew Sin-Ee Yi yang kini menghuni ranking ke-12 dunia bakal berdepan pasangan kesembilan dunia dari India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang mara selepas menewaskan wakil Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 21-4, 21-12.

Sementara itu, satu lagi kejayaan dilakar Malaysia dalam acara beregu lelaki menerusi gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang menewaskan Alexander Dunn-Adam Hall dari Scotland pada aksi pusingan kedua yang berlanjutan hingga set penentuan.

Selepas mudah mencatat kemenangan 21-14 di set pertama, rentak sama gagal diteruskan Sze Fei-Nur Izzuddin di set kedua selepas ketinggalan hampir sepanjang permainan sebelum akhirnya tewas 19-21.

Bagaimanapun, pasangan negara itu berjaya menebus kekecewaan tersebut dengan mempamerkan aksi bertenaga untuk menamatkan perlawanan yang memakan masa hampir satu jam dengan kemenangan 21-16.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini